Artikel Sastera: Sastera Melayu – Radikal Menongkah Kemapanan – SM Zakir
Oleh S. M. Zakir
Membentuk pandangan radikal bukan bermakna menentang bentuk atau konvensi yang sedia ada.
Karya-karya yang disifatkan sebagai konvensional tetap berdiri dengan kekuatannya yang tersendiri dalam arus perdana kesusasteraan Melayu.
Karya konvensional ini secara umumnya merupakan karya berbentuk realisme yang memaparkan bentuk tradisi dulce et utile atau `yang manis dan yang berguna’ membina didaktisme langsung dalam konteks hubungan karya dengan khalayak.
Melihat bentuk sastera Melayu moden sehingga penghujung abad ke-20 yang dipelopori oleh penulis-penulis dari Asas 50, penulis dekad 1960-an, 1970-an, dan 1080-an telah membina satu norma penulisan yang berdasarkan bentuk realisme.
Norma penulisan ini membentuk kebiasaan umum dan diinstitusikan sebagai bentuk konvensional iaitu bentuk mapan (establish) `apa yang sedia ada’.
Sastera konvensional merujuk kepada ideal kehidupan yang berkait rapat dengan hubungan manusiawi, alamiah, semula jadi dan vertikal. Ia dibentuk oleh ciri-ciri perlataran realiti persekitaran serta alam fauna dan flora.
Di samping ciri-ciri penstrukturan teks dalam set teknik yang umum, dan pembinaan tema atau pesan yang melihat kepada aspek pembudayaan. Sementara pengukuhan pemikiran di dalam sastera konvensional ini cenderung kepada pembinaan idealogi dan aliran yang khusus.
Dalam masa yang sama ia mencirikan situasi wilayah `tempatan’ yang cantik dan indah tetapi menjerat perjuangan, keperitan dan rentasan takdir yang serba payah di dalamnya.
Dalam konteks sejarah, karya realisme yang menjadi bentuk mapan atau teras kesusasteraan umum secara sejagatnya ini bermula daripada genre pastoral yang muncul di Barat pada zaman pencerahan.
Karya-karya zaman ini ditandai dengan karya-karya buah tangan Milton, Spenser, Sidney, Shelly atau juga Cervantes dengan Don Quixotenya yang mencirikan suasana desa, gembala, fauna serta floranya yang penuh nostalgia dan simbolik.
Ia mencerminkan satu hubungan naturalisasi yang memperlihatkan bahawa manusia dicipta oleh Tuhan dan kekuasaan Tuhan menentukan takdir manusia dan persekitaran alam semulajadinya.
Realisme memberikan hubungan yang jelas tentang warna-warna kehidupan manusia di dalam bentuk yang paling dekat dan langsung dengan realiti. Realisme boleh dikatakan merupakan asas kepada kesusasteraan moden.
ARTIKEL : SASTERA MEMBENTUK PERIBADI
Hasnan Jamaluddin
Wed, 25 Mar 2009
Kehidupan terlalu moden kini menuntut anak-anak membekalkan diri mereka dengan berbagai kemahiran sains , matematik ,teknologi dan ICT bagi menjamin mereka tidak tertinggal dibawa arus. Lantas perlumbaan ke arah itu menyebabkan sastera Melayu dipinggirkan. Padahal matapelajaran sastera Melayu mempunyai peranan yang tersendiri dalam membentuk sahsiah juga peribadi khususnya untuk agenda pembangunan modal insan. Matapelajaran ini di sekolah sekarang semakin malap , hampir tiada sambutan daripada pelajar.Sebilangan guru pula hanya mengajar mengikut sukatan pelajaran sahaja , tanpa memahami , merungkai , dan menyebarluaskan falsafah di sebalik pelajaran ini.
Matlamat kurikulum Kesusasteraan Melayu sekolah menengah adalah untuk melengkapkan anak-anak dengan ilmu sastera agar mereka dapat menghayati, menghargai, mencintai dan membanggakan sastera di alam pendidikan dan kerjaya , memantapkan jatidiri , membentuk peribadi mulia. Sebagai contoh , sastera yang merangkumi ilmu kemanusiaan dapat menyemai unsur-unsur kasih sesama manusia , unsur keharmonian dalam kehidupan dan unsur tingkahlaku terpuji . Sebelum Sains , Teknologi dan ICT dicanang ke alam pendidikan kita dahulu , sastera memainkan peranan mencanai peribadi seiring dengan ilmu agama dan moral.
Tambahan pula, sajak , syair , gurindam , kias, seloka, pantun dan teka-teki telah lama membantu membentuk denyutan nadi kehidupan bangsa kita.
Pada zaman Rasulullah , baginda mempunyai "tukang syair" iaitu Hassan bin Tsabit , menghasilkan syair yang membangunkan jiwa perjuangan masyarakat di masa itu. Seterusnya, pada zaman kegemilangan Andalusia , Maulana Jalaludin Rumi membangunkan peribadi dan kerohanian dengan sajak kesufiannya yang dihayati dan dikagumi seantero dunia. Begitu juga di alam nusantara , terdapat ramai tokoh sastera yang berjasa membentuk peribadi iaitu Abdul Rauf Singkil, Hamzah Fansuri , Shamsudin Al-sumatrani , Amir Hamzah , Punggok , Syed Sheikh Al Hadi , Hamka ,
Ibrahim Yaakub , Ishak Hj Muhammad dan Ahmad Boestamam.
Berapa kerat daripada anak-anak kita sekarang mengenali , menghayati dan mengambil contoh dan didikan tokoh-tokoh ini? Kemajuan teknologi telah menjadikan penyanyi, bintang film, VCD, dan segala yang berbentuk materialistik sebagai guru dalam kehidupan mereka.